BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, February 23, 2010

Minda Muslaim Super


ISI KANDUNGAN

Mengapa Anda Perlu Baca Buku Ini?
Prakata

Bab 1 Umat Yang Super
Bab 2 Acuan Bernama Islam
Bab 3 Ciri-ciri Keunggulan Islam
Bab 4 Sistem Amal Yang Membawa Kepada Keunggulan
Bab 5 Sistem Kepercayaan Menuju Keunggulan
Bab 6 Cara Beriman Kepada Allah
Bab 7 Cara Beriman Kepada Malaikat
Bab 8 Cara Beriman Dengan Kitab Allah
Bab 9 Cara Beriman Dengan Para Nabi
Bab 10 Qada Dan Qadar Melonjakkan Produktiviti
Bab 11 Hari Kiamat Dan Pancaroba Akhir Zaman
Bab 12 Epilog: Contoh Umat Super

Rujukan
Biodata Penulis

UMAT YANG SUPER

Mengikut Merriam-Webster’s Online Dictionary di www.m-w.com/dictionary, perkataan super dalam bahasa Inggeris berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud, “Over, above... over and above: higher in quantity, quality, or degree than… : exceeding or so as to exceed a norm… : surpassing all or most others of its kind… : superior in status, title, or position.”
Mengikut The Pocket Oxford Dictionary (Oxford University Press), super bermaksud, “1- above, beyond, or over (superstructure; supernormal). 2- to an extreme degree (superabundant). 3- extra good or large of its kind (supertanker). 4- of a higher kind.”

Justeru perkataan super dapat diertikan sebagai 'sesuatu yang lebih tinggi (atau baik) mutu, darjat, taraf kedudukannya serta sesuatu yang unggul' dan pada hari ini ia menjadi sebahagian daripada bahasa Malaysia. Sebagai contoh dalam Dewan Eja Pro, ungkapan berhubung minyak berkualiti tinggi, iaitu, ‘petrol with high octane rating’ diterjemahkan sebagai ‘minyak super’ dalam bahasa Malaysia.
Umat Nabi Muhammad merupakan satu umat yang super. Mereka bermula dari zero (kosong) kemudian berubah menjadi hero. Di peringkat awal umat ini dianggap seperti tunggul, tiba-tiba ia berubah menjadi unggul. Kemudiannya, umat super ini berjaya mengubah dunia. Berhubung dengan kejayaan ini, A.M. Lothrop Stoddard di dalam The New World of Islam (Ross & Perry, New Jersey, 2002) berkata, “Kebangkitan Islam merupakan satu episod yang paling mengagumkan dalam sejarah manusia. Ia lahir di bumi yang tidak terkenal kemudian dalam jangka masa hanya satu abad ia berkembang sehingga menguasai separuh alam. Dalam proses itu, ia meruntuhkan empayar-empayar besar dan serentak dengan itu membentuk hati-hati manusia sehingga akhirnya berjaya menegakkan dunia baru iaitu dunia Islam.”
Umat ini menjadi super kerana mereka benar-benar beriman serta berpegang teguh dengan ajaran Islam. Allah menyatakan dalam surah Ali Imran ayat 139 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu berasa lemah dan janganlah bersedih hati, padahal kamulah orang-orang paling tinggi (darjatnya) jika kamu beriman.”
Berhubung dengan ayat ini, Imam Qartubi di dalam al-Jamik li Ahkamil Quran berkata, “Ayat ini menjelaskan berkaitan dengan kelebihan umat ini.” Kelebihan ini terletak pada iman mereka. Iman yang mantap dapat diumpamakan seperti kompas di hati yang memastikan perjalanan umat Islam sentiasa lurus dan tidak terbabas. Iman di hati juga merupakan senjata dan kekuatan yang membolehkan umat Islam melakukan sesuatu yang luar biasa kerana mereka meyakini Allah bersama-sama dengan mereka. Ia menjadikan mereka sanggup meninggalkan harta benda di Mekah bagi merentasi padang pasir berhijrah menuju ke Madinah. Ia menjadikan mereka berani menghadapi musuh walaupun jumlah musuh adalah lebih ramai daripada mereka. Sebagai contoh, di Badar tentera Islam yang berjumlah hanya 313 orang berjaya mengalahkan tentera Quraisy berjumlah 1,000 orang. Di perang Khandak 3,000 orang tentera Islam berjaya mengalahkan tentera Ahzab berjumlah 10,000 orang. Di Yarmuk 39,000 orang tentera Islam mengalahkan tentera Rom berjumlah 240,000 orang. Di Qadisiyah pula tentera Islam yang berjumlah 41,000 orang mengalahkan tentera Parsi 200,000 orang.

Khaira Ummatin
Umat Islam memang merupakan satu umat yang super. Allah menggelar mereka sebagai khaira ummatin yang membawa maksud ‘sebaik-baik umat’. Dalam surah Ali Imran ayat 110 Allah menyatakan yang bermaksud, “Kamu adalah umat yang terbaik (khaira ummatin) yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.”
Semasa mentafsirkan ayat ini, di dalam al-Jamik li Ahkamil Quran Imam Qartubi menukilkan pandangan Imam Mujahid yang berkata, “(Kamulah umat yang terbaik) berdasarkan syarat-syarat yang terdapat dalam ayat ini.” Maksudnya, kita adalah umat super sekiranya kita melaksanakan agenda-agenda yang terdapat dalam ayat ini, iaitu mengajak kepada makruf, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.
Agenda-agenda ini hanya dapat dilaksanakan oleh mereka yang mempunyai nilai hidup yang betul. Nilai hidup yang betul perlu berasaskan hujah serta dalil yang mantap. Berasaskan ramuan-ramuan ini lahirlah satu umat yang mengenali serta menyukai kebaikan dan berperanan mengajak manusia ke arah itu. Mereka juga mengenali serta membenci kemungkaran dan berperanan mencegah manusia daripadanya. Pada masa yang sama cahaya keimanan bersinar di hati sanubari mereka. Merekalah sebaik-baik umat yang dijadikan Allah bagi manusia.

Ummatan Wasatha
Dalam surah al-Baqarah ayat 143 pula, Allah menggelar umat ini sebagai ummatan wasatha melalui katanya yang bermaksud, “Dan demikianlah kami menjadikan kamu umat wasatha supaya kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan rasul menjadi saksi atas perbuatan kamu.”
Di sudut bahasa, kalimat wasatha dalam bahasa Arab digunakan bagi membawa maksud ‘pertengahan,’ ‘adil’ dan ‘yang terbaik’. Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir Quran al-Azim berkata, “Wasatha dalam ayat ini bermaksud yang terbaik lagi gemilang.” Antara ciri yang dimiliki oleh umat wasatha yang ditonjolkan oleh ayat ini adalah bersikap adil sesama manusia. Justeru, ayat ini menjelaskan umat Islam menjadi saksi yang adil pada Hari Kiamat nanti berkaitan dengan kebenaran risalah yang dibawa oleh rasul-rasul. Oleh sebab itu, di dalam al-Asas fit Tafsir Said Hawa mentafsirkan ‘ummatan wasatha’ sebagai ‘umat yang terbaik lagi adil’.
Jelas sekali, ciri-ciri ini menjadikan umat ini satu umat yang super. Dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Imam Tirmizi nabi berkata, “Kamu menggenapkan 70 umat yang diutus dan kamu adalah yang terbaik dan paling mulia dari kalangan mereka.”

Mukmin Yang Menakjubkan
Tambahan itu, umat ini menjadi super kerana memiliki sikap yang mengagumkan. Mereka mampu menghadapi dan menangani semua situasi dan keadaan secara positif. Dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Imam Muslim, nabi berkata, “Sungguh menakjubkan keadaan orang mukmin. Sesungguhnya semua keadaannya merupakan kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidak akan berlaku melainkan ke atas orang mukmin sahaja. Sekiranya dia mendapat kesenangan maka dia bersyukur dan itu baik baginya dan apabila dia mendapat kesusahan dia bersabar dan hal itu baik baginya.”
Maksudnya, dalam setiap keadaan, tidak kira senang ataupun susah, golongan mukmin tetap berpegang kepada prinsip, tetap sujud mengabdikan diri kepada Allah, tetap mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran, tetap berbangga dengan ajaran Islam, tidak terbabas atau hanyut mengikut arus dan di samping itu mampu menjadikan setiap situasi sebagai kesempatan bagi meledakkan kejayaan dan kegemilangan. Sikap sebegini sememangnya merupakan satu sikap yang super.

Islam Bercahaya Semasa Barat dalam Kegelapan
Ciri-ciri yang dinyatakan sebelum ini iaitu beriman, berilmu, memiliki nilai yang betul, berperanan dengan mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran serta bersikap adil sesama manusia menjadikan umat ini satu golongan yang gilang-gemilang. Malah pada suatu masa, umat Islam berada di era kegemilangan Barat berada di Zaman Kegelapan (Dark Ages). Bertrand Russell, di dalam bukunya History of Western Philosophy (Simon & Schuster, Inc., 1972) berkata, “Penggunaan istilah Zaman Kegelapan bagi menceritakan keadaan yang berlaku antara tahun 699 hingga 1000 Masihi menunjukkan kita terlampau memberi tumpuan kepada dunia Eropah Barat. Sebenarnya semasa itu, tamadun Islam yang agung berkembang dengan pesatnya dari India ke Sepanyol. Bagi kita, tamadun hanya berada di Eropah Barat sedangkan pandangan ini merupakan satu pandangan yang sempit.”
Memang benar, semasa Barat berada di Zaman Kegelapan perbezaan antara dunia Islam dan Barat dapat dikiaskan seperti langit dan bumi. Victor Robinson membuat perbandingan ini dalam The Story of Medicine (The New Home Library, New York, 1943) dengan berkata, “Eropah bergelap pada waktu malam sedangkan Cordova bercahaya dengan lampu. Eropah kotor sedangkan Cordova membina 1,000 tempat mandi. Eropah dipenuhi serangga sedangkan penduduk Cordova menukar pakaian dalam mereka setiap hari. Eropah dipenuhi selut sedangkan jalan-jalan di Cordova bertar. Istana di Eropah dipenuhi lubang asap di bumbung sedangkan bangunan-bangunan di Cordova tersergam indah. Tokoh-tokoh Eropah tidak tahu menandatangani nama sendiri sedangkan anak-anak di Cordova sudah ke sekolah. Tokoh-tokoh agama di Eropah tidak tahu membaca risalah Kristian sedangkan ulama Islam di Cordova membina kutub khanah yang besar.”

Tokoh Barat Anak Murid Tokoh Islam
Memandangkan ilmu dan tamadun umat Islam lebih super daripada Barat di Era Kegelapan dahulu, tokoh-tokoh barat tanpa segan silu datang ke bumi Islam (iaitu bumi Andalus) menjadi anak murid kepada tokoh-tokoh Islam. Robert Briffault di dalam bukunya The Making of Humanity (Reprinted, Lahore, Pakistan, 1980), dalam bab Dar al-Hikmet berkata, “Di bawah konsep toleransi agama golongan Kristian hidup penuh kebebasan di bawah pemerintahan khalifah Islam di Sepanyol. Pelajar-pelajar Kristian dari pelbagai pelosok Eropah datang ke negara Arab ini untuk belajar. Alvaro, seorang paderi kanan di Cordova, menulis pada abad ke-9 Masihi, ‘Kesemua pelajar Kristian yang berbakat ini mengetahui bahasa dan kesusasteraan Arab. Mereka membaca dengan penuh minat buku-buku karangan orang Arab dan berasa kagum dengan kesusasteraannya’. Gerbert of Aurillac membawa beberapa bahan berkaitan dengan astronomi dan matematik ke Sepanyol bagi mengajar anak-anak muridnya berkaitan dengan alam serta sistem cakerawala. Minatnya yang mendalam berkaitan dengan ilmu yang dicurinya daripada orang-orang Islam (knowledge stolen from the Saracens), mengikut William of Malmesbury, menjadikannya terkenal sehingga beliau dianggap hero pada kisah-kisah legenda yang terkenal di Zaman Pertengahan dahulu dengan nama Faust Legends.”
Seterusnya Robert Briffault berkata, “Seorang biarawan dari Afrika bernama Constantine yang pernah menjadi setiausaha kepada Robert Guiscard, memberikan tumpuan bagi menterjemahkan buku-buku Arab dan dengan itu memperkenalkan sistem pembelajaran baru bagi keluarga (Kristian dari kumpulan) Benedict di Monte Cassino. Seorang lagi ahli keluarga Benedict, Adelhard of Bath membawa balik banyak buku dari Cordova yang kemudiannya disebarkan ke Perancis dan England. Daniel de Morlay, selepas mempelajari ilmu matematik dan astronomi di Cordova, menerbitkan semula ilmu yang dipelajarinya itu dan menjadi seorang pensyarah di Oxford. Plato of Tivoli pula menterjemahkan tulisan-tulisan al-Battani berkaitan dengan astronomi dan matematik. Pada penghujung abad ke-12, seorang ahli perniagaan dari Pisa, Leonardo Fibonacci semasa bermusafir di Algeria dan Sepanyol, tertarik dengan kaedah-kaedah baru dalam bidang sains matematik yang diketengahkan oleh orang-orang Arab. Beliau kemudiannya menterjemahkan tulisan al-Khawarizmi yang berkaitan dengan algebra. Hasil kerja Fibonacci mempunyai pengaruh yang besar dan beliau sepatutnya dianggap sebagai pengasas ilmu matematik moden di Eropah Kristian. Tokoh yang paling banyak mempopularkan tulisan-tulisan Arab adalah Gerard of Cremona. Beliau tinggal di Cordova selama 50 tahun di zaman pemerintahan Islam. Dalam masa itu beliau berjaya menghasilkan tidak kurang dari 60 bahan terjemahan dari bahasa Arab, antaranya tulisan al-Haitham dalam bidang astronomi. Seorang lagi tokoh dari Barat, Michael Scot, sering kali berulang-alik ke Cordova bertujuan bagi mendapatkan manuskrip untuk diterjemahkan. Arnold of Villeneuve dan Raymond Lully, rakan-rakan Roger Bacon, belajar di Sepanyol dan mengajar di Montpellier. Campanus of Novara belajar matematik di Cordova dan mengajar di Vienna. Lebih daripada itu sekolah-sekolah bagi menterjemahkan buku-buku Arab dibina di Toledo oleh Alfonso the Sage.”

Tamadun Islam Mempengaruhi Yahudi
Golongan Yahudi juga mendapat faedah daripada umat super ini. Berhubung dengan ini Robert Briffault berkata di dalam The Making of Humanity, “Sikap toleransi orang-orang Islam di bawah pemerintahan khalifah juga dirasai oleh orang-orang Yahudi. Mereka kemudiannya memperkembangkan budaya hidup orang-orang Islam ke kawasan-kawasan ceruk yang tidak mengenali erti tamadun. Mereka membina banyak sekolah, antaranya sekolah Kimhis dan Ben Esra di Narbonne dan di situ mereka mengajar ilmu sains Arab di samping menterjemahkan pelbagai buku karangan orang-orang Arab. Doktor-doktor Yahudi yang dilatih oleh orang-orang Arab mengembangkan pengamalan dan pengajaran ilmu perubatan ini di Eropah di sepanjang Zaman Pertengahan dahulu.
Dalam konteks ubat-ubatan, jenis ubat-ubatan yang digunakan pada hari ini adalah mengikut formula yang digunakan oleh orang-orang Arab dahulu kecuali dalam beberapa aspek sahaja. Ubat-ubatan seperti nux vomica, senna, rhubarb, aconite, gentian, myrrh dan calomel berasal dari orang-orang Arab. Sekolah perubatan di Montpellier yang mempunyai ramai doktor Yahudi dibina mengikut sistem sekolah perubatan di Cordova. Demikian juga dengan sekolah-sekolah perubatan di Padua dan Pisa. Ia menggunakan buku-buku karangan Ibn Sina dan Abul Qasim sebagai buku-buku teksnya di samping buku-buku matematik dan astronomi karangan tokoh-tokoh Arab yang lain. Buku Ibn Sina iaitu al-Qanun dan buku Abul Qasim iaitu at-Tasrif, menjadi bahan rujukan utama di Eropah hingga abad ke-17. Semua ini menjadi semaian yang bakal melahirkan tokoh-tokoh sains seperti Fallopius, Vesalius, Cardan, Harvey dan Galileo.”

Islam dan Nilai Kemanusiaan Sejagat
Dunia banyak mempelajari daripada budaya dan cara hidup umat Islam. Malah ajaran Islam yang super merangsang beberapa perubahan positif di dunia. Hal ini dijelaskan oleh Robert Briffault di dalam The Making of Humanity. Beliau berkata, “Konsep kebebasan manusia, persaudaraan sesama insan dan persamaan hak di kalangan manusia termasuk hak untuk bersuara merangsang beberapa kejadian penting dalam sejarah seperti Revolusi Perancis, Deklarasi Hak Asasi Manusia di Amerika dan perjuangan ke arah kemerdekaan di negara-negara Amerika Latin. Sebenarnya konsep-konsep ini bukanlah hak cipta masyarakat Barat. Ia sebenarnya adalah ajaran yang terdapat di dalam Quran yang dihayati oleh orang-orang Islam. Kemudiannya konsep-konsep ini mempengaruhi masyarakat Eropah. Besar kemungkinan jika tidak kerana orang-orang Arab, era kemodenan di Eropah tidak berlaku sama sekali.”
Demikian juga dengan konsep toleransi umat Islam terhadap mereka yang bukan Islam. Sejarah membuktikan penghayatan konsep ini oleh umat Islam amat mengagumkan. Sebagai contoh, profesor T. W. Arnold di dalam bukunya The Preaching of Islam (Low Price Publications, New Edition, India, 2002) melaporkan, “Apabila tentera-tentera Islam tiba di lembah Jordan dan panglima Abu Ubaidah mengarahkan supaya khemah-khemah dipasang di Fhil, penduduk-penduduk Kristian di negeri itu menulis surat kepada golongan Arab Muslim ini dengan berkata, ‘Wahai orang-orang Islam, kami lebih suka sekiranya kamu yang memerintah kami daripada pihak Rom walaupun mereka seagama dengan kami. Mereka merompak harta kami dan memusnahkan tempat tinggal kami’.” Semasa itu golongan Islam memang dikenali sebagai satu golongan yang adil dan saksama termasuk terhadap golongan yang bukan Islam.
Sejarah membuktikan tokoh-tokoh Islam mementingkan toleransi dengan golongan bukan Islam. Sebagai contoh di era pemerintahan khalifah Umar al-Khatab beberapa perjanjian dibuat oleh khalifah dengan golongan bukan Islam berhubung hak-hak mereka. Antaranya seperti yang disebutkan di dalam kitab Tarikh at-Tabari (Dar al-Maarif, jilid 3) iaitu, “Keselamatan jiwa dijamin, demikian juga dengan harta benda, gereja-gereja dan tempat ibadah mereka. Gereja-gereja mereka tidak diduduki, tidak diruntuhkan ataupun dikurangkan. Harta benda gereja tidak diambil dan tanda-tanda salib dibiarkan. Mereka tidak ditindas kerana perbezaan agama dan tidak ada sesiapa pun dari kalangan mereka yang disakiti.”

Ajaran dan Acuan Super
Antara sebab umat Islam menjadi hebat adalah ajarannya yang agung. Ajaran ini bernama Islam dan ia merupakan satu ajaran lengkap lagi sempurna. Bagi memperincikan lagi konsep ini, dalam Usul 20 Imam Hasan al-Banna berkata, “Ajaran Islam adalah menyeluruh mencakupi kesemua bidang kehidupan. Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Ia juga adalah pengetahuan dan undang-undang ataupun ilmu dan kehakiman. Islam menekankan berkaitan dengan aspek kebendaan dan harta ataupun usaha dan kekayaan. Di samping itu Islam juga mementingkan jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Islam adalah akidah yang benar dan ibadah yang sah.”
Dengan sempurnanya Islam sempurnalah nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia. Allah menyatakan dalam surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud, “Pada hari ini, aku sempurnakan agamamu bagi kamu dan aku sempurnakan nikmat aku ke atas kamu dan aku redai Islam menjadi agamamu.”
Dalam ayat ini Allah mengatakan Islam adalah satu nikmat dan bukannya bala bagi manusia. Berhubung dengan perkara ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir Quran Al-Azim berkata, “(Islam) merupakan nikmat paling agung yang dikurniakan Allah kepada umat ini. Apabila Allah menyempurnakan agama ini, umat Islam tidak memerlukan agama lain selain Islam dan mereka juga tidak memerlukan nabi lain (selepas nabi Muhammad).”
Ajaran Islam memang sesuai dengan fitrah serta keperluan manusia. H. G. Wells di dalam The Outline of History (Garden City Books, New York, 1961) berkata, “Ajaran Islam dipenuhi nilai kebaikan hati, kemurahan hati dan persaudaraan. Ia merupakan satu agama yang mudah bagi difahami. (Ia berbeza) dengan agama Yahudi (Judaism) yang menjadikan Tuhan sebagai dia yang lebih mementingkan bangsa tertentu. (Ia berbeza) dengan agama Kristian yang sekarang ini asyik berbicara berkaitan dengan triniti di samping doktrin serta ajaran sesat yang lain yang tidak dapat difahami oleh manusia biasa. (Ia juga berbeza) dengan ajaran kultus Mazda (Mazdaism) yang dilahirkan oleh pendeta-pendeta agama Zoroastrianisme yang merangsang pembunuhan ke atas tokoh agama bernama Mani.”
Hal yang lebih kurang sama juga dikatakan oleh George Bernard Shaw di dalam The Genuine Islam (Vol. 1, No. 8, 1936) iaitu, “(Islam) adalah satu-satunya agama yang mempunyai kemampuan bagi menyesuaikan ajarannya dengan suasana kehidupan yang berubah-ubah dan mampu menjadi tarikan di setiap zaman.”
Baru-baru ini, dalam majalah Western Minaret dimuatkan sebuah artikel bertajuk Islam: The Next American Religion. Ia ditulis oleh seorang penulis Amerika yang bernama Michael Wolfe. Dalam artikel ini beliau berkata Islam adalah agama yang paling sesuai dengan rakyat Amerika pada hari ini. Beliau sendiri memeluk agama Islam.
Kenyataan-kenyataan ini menunjukkan Islam mempunyai keunikan dan kehebatannya. Inilah acuan yang berjaya melahirkan satu umat super yang mengagumkan sebelum ini.

Kehebatan Bermula di Minda
Secara dasarnya acuan Islam tidak dapat dihayati tanpa kefahaman yang betul tentangnya. Justeru pembentukan umat yang super bermula dengan ilmu serta kefahaman. Menggunakan ungkapan lain, ia bermaksud kesemuanya bermula dengan minda. Minda, mengikut Dewan Eja Pro, bermaksud ‘akal fikiran dan daya berfikir’. Minda yang betul melahirkan cara fikir serta kefahaman yang betul berkaitan dengan semua isu. Kefahaman yang betul melahirkan cara tindak yang betul. Kesemua ini merupakan proses yang melahirkan produk serta hasil yang betul lagi berkualiti. Semuanya bermula dengan minda.
Justeru, dalam surah Muhammad ayat 19 Allah menjelaskan, “Ketahuilah sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan mintalah ampun atas dosa-dosa kamu dan dosa-dosa orang-orang Islam.” Ayat ini menarik disebabkan ia menekankan berkaitan dengan ‘pengetahuan’ sebelum ‘keyakinan dan perlakuan’. Berhubung dengan ayat ini di dalam al-Jamik li ahkam Quran, Imam Qartubi melaporkan, “Imam Sufyan bin ‘Uyainah pernah ditanya berkaitan dengan kelebihan ilmu dan beliau menjawab, ‘Apakah kamu tidak mendengar kalam Allah (iaitu ayat 19 surah Muhammad) yang bermula dengan ‘Ketahuilah’ sekali gus menunjukkan Allah mahu kita menguasai ilmu terlebih dahulu sebelum beramal? Olahan yang sama Allah gunakan dalam surah al-Hadid ayat 20, surah al-Anfal ayat 28 dan dalam surah al-Anfal ayat 41’.”
Justeru, minda adalah pintu gerbang kepada segala kehebatan. Sebagai langkah pertama mari kita membuka minda kita bagi mengenali acuan super yang bernama Islam.


RM 35.00 / RM 38.00 (Sabah & Sarawak),
983-3603-19-X;
978-983-3603-19-0;
9789833603190
Tarikh Terbit: 14 August 2009 ;
Jumlah Muka Surat : 432 halaman

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...