“Di dalam hidup manusia, pelbagai perkara berlaku dan terjadi. Kehidupan manusia terbina dengan kesenangan, kepayahan, kedukaan, kegembiraan dan 1001 macam perasaan dan situasi. Kehidupan manusia juga terbina dengan kehadiran manusia lain di dalamnya. Anak-anak, isteri, suami, ayah, ibu, kawan-kawan, musuh dan sebagainya…
“Kehidupan manusia juga terbina dengan akidahnya, pegangannya dan kefahamannya. Namun kehidupan yang bagaimanakah kita mahukan?”
Isu kekeluargaan juga dikaitkan sebagai pelengkap di dalam aturan kehidupan manusia di muka bumi. Dengan pengolahan yang santai dan bahasa yang mudah difahami, siri tazkirah ini sesuai dijadikan bahan bacaan untuk semua peringkat umur.
Antara kandungan:
1. Akhlak Mulia Jambatan ke Syurga
2. Berbicara dengan Waktu
3. Diam Menutup Satu Pintu Serangan Syaitan
4. Manusia Tidak Mampu Berdikari
5. Berperang dengan Dosa
6. Hadapi Hinaan dengan Sabar dan Tenang
7. Sirnakan Resah dengan Kembali kepada Allah
8. Kelazatan Menjadi HAMBA
9. Kejayaan Bermula dengan Cita-cita
10. Ajal Tidak Menunggu Cita-cita
11. Jadikan Anak-anak sebagai Teman
12. Ibu Bapa Sumber Barakah
13. Kemesraan Kunci Kebahagiaan
14. Cinta Allah Hidup Jadi Indah
15. Cinta Allah Membuahkan Cinta yang Lain
16. Cinta Allah Membawa ke Syurga
17. Allah Tidak Pernah Berkira
18. Cinta Rasulullah Memantapkan Cinta Allah
19. Cinta Ibu Bapa Mengundang Rahmat Allah
20. Bukti Cinta kepada Allah
21. Cinta Sejati Tiada Kecewa dan Putus Asa
22. Bercintalah kerana Allah
23. Semarakkan Cinta untuk Dicintai
24. Buktikan Cinta dengan Pengorbanan
25. Seni Cinta Tanpa Kecewa
26. Tanda Kita Mencintai Allah
27. Cabaran akan Menyuburkan Keimanan
28. Mengingkari Allah Mengundang Azab
29. Janji Allah Pasti Ditunaikan
30. Teguran Tanda Sayang
31. Di Sebalik Susah Ada Senang
32. Bertudung untuk Tutup Aurat
33. Akhlak Rasulullah “Sederhana”
34. Sedikit Sudah Mencukupi
35. Semua Rezeki daripada ALLAH
36. Manusia Itu Tidak Bisa Sendiri
37. Allah Dekat dan Sedia Menolong
38. Bina Kejayaan daripada Kegagalan
39. Menyembur Api ke Langit?
40. Syaitan Tidak Pernah Tidur
41. Allah Datang Jika Kita Mencari-Nya
42. Keberkatan Ilmu pada Redha Guru
43. “Ambillah al-Kitab Itu dengan Kekuatan”
44. Teori Mesti Dicuba Sebelum Disebarkan
45. Hamba Allah Bukan Hamba Harta
46. Selesaikan Urusan Allah, Allah Selesaikan Urusan Kita
47. Allah Kata “Jadi” Maka Jadilah
48. Wahai Mukmin, Adakah Kamu Lupa….
49. Pencetus dan Pengawas yang Kuat
50. Tundukkan Nafsu dengan Iman dan Takwa
51. Syaitan Pembantu Orang Munafik
52. Sabar Pendinding Rasa Dengki
53. Lima Musuh Orang Mukmin
54. Kembali kepada Sumber Islam yang Sahih
55. Kembali kepada Generasi Awal
56. Resmi Hamba: Tunduk dan Patuh
57. Muhasabah Mengejutkan Diri daripada Kealpaan
58. Mulia kerana Mendekati Allah
59. Tanggungjawab Hamba Hanya Taat
60. Ayat-ayat al-Quran Penuh Pengajaran
CONTOH BAB 1
Akhlak Mulia Jambatan ke Syurga
Anda berakhlak mulia?
Pada pandangan anda, adakah berakhlak mulia ini membawa keuntungan atau tidak?
Ada orang kata: Kalau baik, sentiasa kena pijak. Adakah perkara itu membuatkan kita tidak mahu atau fobia untuk berakhlak mulia?
Saya hendak berkongsi bersama-sama dengan anda, betapa beruntungnya kita jika berakhlak mulia. Hendak bersama-sama dengan saya?
Akhlak mulia hakikatnya merupakan salah satu asas terpenting dalam ajaran Islam untuk membina peribadi dan memperbaiki masyarakat. Perkara tersebut dikatakan asas terpenting kerana keselamatan masyarakat, kekuatan, kemuliaan, dan kewibawaan peribadi-peribadinya sangat bergantung kepada sejauh mana mereka berpegang dengan akhlak mulia tersebut. Sebaliknya masyarakat akan hancur dan rosak tatkala mereka meninggalkan dan menjauhi akhlak yang terpuji.
Setiap syariat dan agama memiliki perhatian yang serius terhadap gejala penyakit akhlak yang dapat menjadikan masyarakat terperosok. Tidak hairanlah jika masing-masing memperingatkan umatnya akan bahaya akhlak yang buruk serta menyeru agar mereka menjauhinya.
Islam mengajak manusia untuk membina fizikal dan jiwanya secara sempurna dan seimbang, tidak tempang pada salah satunya. Islam menyeru agar mereka berpegang dengan akhlak mulia dan menyebarkannya, dan agar mereka meninggalkan serta menjauhi segala akhlak yang buruk.
Ajaran akhlak yang mulia ini telah diperlihatkan oleh suri teladan umat ini iaitu Rasulullah yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dengan firman-Nya,
“Dan sesungguhnya engkau benar-benar berada di atas akhlak yang mulia.” (Al-Qalam: 4)
Sa’ad bin Hisyam pernah bertanya kepada ‘Aisyah r.ha. tentang akhlak Rasulullah, maka ‘Aisyah r.ha. menjawab,
“Akhlak Baginda ialah al-Quran.”
Lalu Sa’ad berkata,
“Sungguh saya ingin berdiri dan tidak lagi menanyakan sesuatu yang lain.” (Riwayat Muslim)
Oleh sebab itu, Rasulullah SAW merupakan peribadi yang paling bagus akhlaknya seperti yang disaksikan oleh Anas bin Malik (pembantu Rasulullah) selama sepuluh tahun- ketika beliau berkata,
“Rasulullah ialah orang yang paling bagus akhlaknya.” (Riwayat Muslim)
Maka wajarlah Rasulullah SAW menjadi suri teladan bagi kita dalam segala aspek kehidupan. Hal ini amat jelas seperti yang diberitakan oleh Allah dalam firman-Nya,
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (pertemuan dengan) Allah dan (keselamatan di) hari akhir dan dia banyak menyebut Allah.” (Al-Ahzab: 21)
Rasulullah SAW sendiri telah memotivasi umatnya yang beriman supaya berpegang teguh dengan akhlak yang bagus dan menjauhi akhlak yang buruk seperti dalam sabda-sabda Baginda berikut ini:
Daripada Abu Darda’ bahawa Nabi bersabda yang bermaksud,
“Tiada suatu perkara yang paling memberatkan timbangan (kebaikan) seorang Mukmin pada hari kiamat selain daripada akhlak mulia, dan sesungguhnya Allah amat benci kepada seorang yang buruk perbuatan dan ucapannya.” (Riwayat at-Tirmizi dan disahihkan oleh Syaikh Albani)
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang perkara yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam syurga, maka Baginda menjawab,
“Bertakwa kepada Allah dan berakhlak mulia.”
Sementara ketika ditanya tentang perkara yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam neraka, Baginda menjawab,
“Mulut dan kemaluan.” (Riwayat at-Tirmizi dan dihasankan sanadnya oleh Syaikh Albani)
Dan Rasulullah SAW menjelaskan bahawa Mukmin yang paling sempurna keimanannya ialah yang paling sempurna akhlaknya, seperti yang Baginda sabdakan yang bermaksud:
“Sesungguhnya Mukmin yang paling sempurna keimanannya ialah yang paling bagus akhlaknya, dan sebaik-baik kalian ialah yang paling baik terhadap isteri-isterinya.” (Riwayat at-Tirmizi dan disahihkan oleh Syaikh Albani)
Bahkan Rasulullah SAW telah menjadikan orang yang berakhlak mulia sebagai orang yang paling dekat duduknya dengan Rasulullah sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang paling aku cintai antara kalian dan paling dekat tempat duduknya denganku pada hari kiamat ialah yang paling bagus akhlaknya, dan sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh tempat duduknya dariku pada hari kiamat ialah tsartsarun (yang banyak bicara), mutasyaddiqun (yang bicara sembarangan lagi mencela manusia) dan mutafaihiqun.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, kami telah mengetahui tsartsarun dan mutasyaddiqun, tetapi siapakah mutafaihiqun itu?” Rasulullah menjawab, “Mutakabbirun (orang yang sombong).” (Riwayat at-Tirmizi dan disahihkan oleh Syaikh Albani)
Nah…
Setelah membaca semua kalimah yang saya coretkan ini, adakah anda masih tidak mahu memupuk akhlak mulia dalam diri?
Akhlak mulia sumber kebahagiaan dunia dan akhirat, jangan anda lepaskannya!
Penulis: Hilal Asyraf
Harga: RM23.00
0 comments:
Post a Comment