Kandungan buku ini memberi penekanan istimewa kepada persoalan 'bagaimana' bukan kepada 'apa' dan 'mengapa'. Penulisan dijuruskan kepada mengajak para pembaca terus mempraktik beberapa cadangan yang dikemukakan bagi setiap satu persoalan yang dibincangkan. Dengan cara ini diharapkan pembaca memperoleh manfaat secara langsung dan yakin dapat mempraktik saranan-saranan yang dibuat tanpa ragu-ragu.
Kata pengantar
Pendahuluan
BAHAGIAN 1: BISIKAN DAN PERASAAN HATI ISTERI
Bisikan 1: "Suamiku, Bermesralah dengan Isterimu"
Bisikan 2: "Suamiku, Fahamilah Perubahan Semula Jadi Isterimu"
Bisikan 3: "Suamiku, Jangan Cepat Cemburu"
Bisikan 4: "Suamiku, Bersikap Romantik dan Sayangilah Isterimu"
Bisikan 5: "Suamiku, Buangkan Sikap Garang dan Pemarahmu"
Bisikan 6: "Suamiku, Berusaha Mengambil Hati Isterimu"
Bisikan 7: "Suamiku, Sesekali PandaiIah Memuji Isterimu"
BAHAGIAN 2: BISIKAN DAN KELUHAN HATI ISTERI
Bisikan 8: "Suamiku, Rajinlah Membantu Isteri mu"
Bisikan 9: "Suamiku, Janganlah Mata Keranjang"
Bisikan 10: "Suamiku, Adakanlah Perbincangan dan Perbualan Denganku"
Bisikan II: "Suamiku, Hargailah Pendapat Isterimu"
Bisikan 12: "Suamiku, Bersedialah Mengakui Kesilapanmu"
Bisikan 13: "Suamiku, Jangan Suka Berbohong"
Bisikan 14: "Suamiku, Bijaklah Mengurus Penampilan Dirimu"
Bisikan 15: "Suamiku, Berikan Perhatian Terhadap Keluarga"
Bisikan 16: "Suamiku, Sentiasalah Bersikap Adil"
Bisikan 17: "Suamiku, Laksanakan Tanggungjawab Kebapaan Secara Optimum"
BAHAGIAN 3: BISIKAN DAN HARAPAN HATI ISTERI
Bisikan 18: "Suamiku, Bekerjasamalah dalam Menguruskan Rumah Tangga dan Mendidik Anak-anak"
Bisikan 19: "Suamiku, Pertingkatkan Pengetahuan Agamamu"
Bisikan 20: "Suamiku, Uruskan Masamu dengan Baik"
Bisikan 21: "Suamiku, Fahamilah Tanggungjawabmu yang Sebenar"
Bisikan 22: "Suamiku, Jangan Terlalu Leka dengan Kerjayamu"
Bisikan 23: "Suamiku, Buangkan Sikap Pemabukmu"
Bisikan 24: "Suamiku, Hentikan Tabiat Merokokmu"
Bisikan 25: "Suamiku, Jangan Terlalu Boros"
Bisikan 26: "Suamiku, Janganlah Terlalu Ego"
Bisikan 27: "Suamiku, Pimpinlah Keluargamu dengan Penuh Kaliber"
Bisikan 28: "Suamiku, Majukan Diri dalam Bidang Kerjayamu"
Bisikan 29: "Suamiku, Fahamilah Tahap-tahap Perubahan dalam Perkahwinan"
Bisikan 30: "Suamiku, Jadilah Contoh kepada Keluargamu"
Bibliografi
Bahagian 1: Bisikan dan Perasaan Hati Isteri
BlSlKAN 1 "SUAMIKU, BERMESRALAH DENGAN ISTERIMU"
Perasaan cinta dan kasih sayang adalah naluri semula jadi yang normal bagi setiap insan. Naluri ini mendorong keinginan dalam diri seseorang bagi menjalin kemesraan dengan orang yang dikasihinya.
Sesebuah perkahwinan memerlukan cinta, kasih sayang dan kemesraan antara suami dan isteri bagi mewujudkan sebuah perkahwinan yang benar-benar bahagia dan berjaya.
Islam mengesyorkan supaya perkahwinan perlu dibina atas dasar cinta-mencintai dan bertimbang rasa. Namun, cinta-mencintai tidak akan berlaku dalam rumah tangga melainkan disemai dan dibaja selalu.
Benarkah semakin bertambah usia perkahwinan, semakin layu kasih sayang dan kemesraan pula menjadi semakin hambar? Tahukah para suami, seorang isteri itu dahagakan perhatian dan kemesraan yang ikhlas daripada suaminya? Hal-hal seperti ini mungkin dianggap remeh oleh para suami. Ramai suami memberi alasan, cinta tidak perlu digambarkan, tempatnya di hati. Anggapan seperti ini tidak benar sama sekali, malah anggapan seperti ini yang sering menimbulkan fenomena-fenomena yang kurang sihat dalam perkahwinan.
Faktor-faktor Penting bagi Mewujudkan Kemesraan
Komunikasi dan interaksi
Komunikasi dan interaksi penting sebagai nadi dalam perhubungan perkahwinan bagi menguatkan lagi ikatan dan asas memperkukuhkan kemesraan.
Namun, banyak berlaku dalam perkahwinan, suami kurang berinteraksi dengan isterinya. Balik ke rumah, surat khabar dicapai sambil menonton TV. Isteri pula terpaksa bertungkus-lumus seorang diri di dapur dan melayani anak-anak. Bilakah komunikasi dan interaksi dapat diwujudkan antara suami dan isteri?
Ramai isteri merungut, sebenarnya suami bersikap enggan membantu hingga menyebabkan interaksi dan komunikasi kurang berlaku. Apalah salahnya, selepas pulang dari tempat kerja, suami turut ke dapur membantu isteri, paling tidak duduk menemani isteri di dapur sambil berbual kosong dan bergurau dengan isteri. Inilah sebenarnya kesempatan yang perlu diambil bagi bermesra dan berinteraksi dengan isteri di rumah.
Tidak dinafikan, suami pulang ke rumah dalam keadaan letih. Ini ditambah pula dengan bebanan tugas ataupun masalah di tempat kerja. Tetapi suami tidak boleh menjadikan hal-hal sedemikian sebagai alasan melepaskan kemarahan kepada isteri dan anak-anak ataupun berehat sendirian tanpa menghiraukan mereka. Tindakan seperti ini tidak adil kepada mereka, apatah lagi kepada isteri. Bebanan tugas di rumah memerlukan simpati daripada suami. Bagi isteri yang bekerja pula, bantuan dan sokongan suami lebih-lebih lagi diharapkan.
Gurauan dan jenaka
Orang yang pandai berjenaka mewujudkan suasana mesra dan membuatkan orang lain berasa tenang dan bahagia. Oleh itu, dalam mengharungi alam perkahwinan, suami perlu mempelbagaikan teknik berkomunikasi. Jangan terlalu serius hingga menakutkan anak-anak dan isteri untuk mendekati apatah lagi bagi berbincang. Sesekali suami perlu bergurau, berjenaka dan bermanja-manjaan kerana ini adalah ramuan terbaik dalam menghidupkan interaksi ke arah yang lebih menyenangkan.
Hubungan seksual. Hubungan seksual adalah satu tuntutan fisiologi dan biologi yang semula jadi. Seks juga pengikat kasih sayang dan penentu ketenangan rumah tangga. Hubungan seksual yang bertimbang rasa dan disulami kasih mesra membuahkan kemesraan antara pasangan suami isteri serta memberi ketenangan yang menyenangkan.
Malangnya, hal-hal berkaitan seksualiti ini biasanya kurang diperbincangkan. Tidak ramai pasangan suami isteri yang bersedia memberitahu mengenai kehendak masing-masing berkaitan hubungan ini. Pihak isteri biasanya lebih malu dan berada pada pihak yang menerima daripada yang meminta. Justeru, suami perlu sentiasa peka pada hal-hal yang disenangi oleh isterinya berkaitan hubungan seks ini.
Bersantai bersama. Sememangnya semakin meningkat usia perkahwinan, semakin bertambah cabaran dalam rumah tangga. Kehadiran anak-anak mendorong suami dan isteri memberi tumpuan bagi memantapkan ekonomi keluarga serta lebih memikirkan hal anak-anak daripada usaha menghidupkan semula kemesraan bersama.
Kemesraan suami isteri menjadi semakin pudar. Suami sibuk mencari wang lebih, isteri pula banyak meluangkan masa untuk anak-anak. Tiada lagi masa untuk bersantai berdua, berpuji-pujian dan sulaman kata-kata mesra semakin dilupakan.
Sebenarnya keadaan suami yang terlalu serius bagi menambah ekonomi keluarga menyebabkan isteri menjauhkan diri untuk memberi peluang kepada suami menumpukan kepada kerjaya. Isteri mula beralih mencurahkan kemesraan pada anak-anak. Ramai suami beranggapan keadaan ini memberi ketenangan kepada seisi ahli keluarga, tetapi tanpa disedari isteri sebenarnya memendam rasa kesunyian dan 'kehilangan'. Oleh itu, suami perlu sesekali mengambil cuti dan berehat panjang bagi menghabiskan masa bersama isteri. Kesempatan bercuti perlu diambil bagi melancong bersama. Paling ringan, telefon isteri setiap hari apabila tiba di tempat kerja serta sesekali raikan isteri dengan memberi hadiah ataupun keluar makan dan menonton berdua tanpa gangguan anak-anak. Dengan kata lain, hidupkanlah budaya dating semula dalam perkahwinan anda.
TIP 1
Cara menghidupkan kemesraan dalam perkahwinan
1.Sentiasa berinteraksi dan berkomunikasi.
2.Selitkan gurauan, jenaka dan kata-kata mesra semasa berkomunikasi dengan isteri.
3.Jangan kedekut mencurahkan pujian kepada isteri.
4.Pastikan hubungan seksual dapat menyenangkan kedua-dua belah pihak.
5.Apabila kemesraan semakin pudar, cuba hidupkan kembali kenangan-kenangan manis sewaktu mula-mula bersama.
6.Sesekali tunjukkan kemesraan melalui pemberian berupa hadiah, bunga, kad ucapan, perhiasan emas dan sebagainya.
7.Sentiasa mengukir senyuman apabila bersama isteri.
8.Memberikan sentuhan lembut semasa bersama.
9.Memujuk dengan lembut apabila isteri merajuk ataupun mengalami kesusahan, kesedihan dan ditimpa masalah.
PTS Millennia Sdn Bhd
RM 17.90 / RM 20.90 (Sabah & Sarawak),
983-3603-57-2;
978-983-3603-57-2;
9789833603572
Tarikh Terbit: 15 October 2008 ;
Jumlah Muka Surat : 192 halaman
0 comments:
Post a Comment